Hipoglikemia


Apakah Hipoglikemia?

Gabungan daripada perkataan hipo ("di bawah") dan glikemia ("kehadiran glukosa dalam darah"), ia adalah keadaan di mana paras gula darah lebih rendah daripada biasa. Hal ini terjadi disebabkan oleh pelbagai faktor, dan ia biasanya penunjuk kepada masalah yang lebih serius. Hipoglikemia bukan sahaja boleh menyebabkan diabetes jenis 1 dan 2, tetapi ia juga boleh membawa kepada masalah kesihatan yang lain seperti kerosakan organ, perasaan cemas, kesan sampingan ubat-ubatan, dan sebagainya. Sekiranya tidak dirawat dengan segera, komplikasi ini boleh mencapai ke tahap yang lebih teruk di mana ia boleh menyebabkan masalah kejang dan koma. Malah, jika perkara ini dibiarkan berlanjutan, ia bakal mengakibatkan kerosakan pada otak.


via GIPHY


Malangnya, kes-kes sebenar hipoglikemia sukar dikesan dan didiagnosis. Risiko ini agak serupa dengan simptom-simptom bagi masalah kesihatan yang lain seperti perasaan cemas pada tahap tertentu dan boleh disebabkan oleh pengambilan bahan lain seperti kafein yang mana ia boleh didapati dalam kopi, teh, minuman bertenaga, dan pil kafein.


via GIPHY


Oleh itu, disebabkan kesukaran untuk mengesan hipoglikemia, simptom-simptom yang disenaraikan di dalam artikel ini tidak boleh diambil dan dijadikan sebagai rujukan utama bagi menggantikan nasihat perubatan daripada doktor. Fisiologi setiap manusia adalah berbeza, dan jika anda mempunyai sebarang kemusykilan akan masalah yang berkaitan dengan hipoglikemia, adalah lebih baik untuk anda berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan maklumat yang lebih jelas. Mereka biasanya dapat menentukan keadaan anda dengan mengambil kira atas pelbagai faktor.


Hipoglikemia yang berkait dengan diabetes 

Hipoglikemia jenis ini adalah bentuk hipoglikemia yang biasa ditemui dalam kalangan pesakit diabetes. Diabetes hipoglikemia terjadi kerana tahap glukosa dalam badan tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan badan itu sendiri. Pesakit diabetes jenis 1, kerana ketidakupayaan mereka menghasilkan insulin sendiri boleh mengalami komplikasi ini jika mereka tidak berhati-hati. Mereka harus mengambil suntikan insulin tambahan untuk mengimbangi tahap glukosa dalam darah. Namun demikian, mengambil insulin berlebihan atau lupa untuk makan tepat pada waktunya juga boleh menyebabkan hipoglikemia berlaku.

via GIPHY


Walaupun pesakit diabetes jenis 2 dipercayai kurang berisiko untuk mengalami komplikasi ini, mereka tetap cenderung untuk menerima komplikasi yang sama jika mereka terus menyuntik tubuh badan mereka dengan insulin. Harus diingat bahawa insulin yang berlebihan merupakan penyebab utama kepada diabetes hipoglikemia. Pesakit diabetes jenis 2 biasanya sudah dididik tentang bahaya gula darah tinggi, tetapi tidak pada gula darah rendah. Oleh sebab itu, ramai pesakit yang mengalami komplikasi diabetes hipoglikemia seringkali tidak mengetahui akan masalah kesihatan yang berlaku pada tubuh badan mereka.

Secara ringkasnya, mempunyai kedua-dua tahap glukosa tinggi dan rendah dalam aliran darah adalah sangat berbahaya dan berisiko tinggi untuk mendapat hipoglikemia. Oleh itu, pesakit harus memastikan tahap glukosa darah mereka sentiasa stabil.


Hipoglikemia yang tidak berkait dengan diabetes

Jangan terkejut tau! Orang yang tidak menghidap diabetes juga berisiko untuk mendapat hipoglikemia. Terdapat pelbagai sebab mengapa pesakit bukan diabetes juga boleh menjadi mangsa kepada hipoglikemia jenis ini. Antaranya adalah:

Jarang makan: Pesakit yang kebiasaanya kurang makan berpotensi untuk merangsang pertumbuhan komplikasi ini, ditambah pula dengan keadaan kesihatan lain yang boleh membuatkan komplikasi ini menjadi lebih teruk. Sumber utama glukosa berasal dari kandungan gula dalam makanan yang kita makan. Pengambilan makanan yang tidak teratur atau kurang boleh mengakibatkan hipoglikemia berlaku.

Kekerapan pengambilan minuman beralkohol: Bukan rahsia lagi, tabiat meminum minuman beralkohol yang berlebihan boleh mengakibatkan komplikasi hipoglikemia kerana tindak balas alkohol yang memberikan reaksi negatif pada hati dan pankreas. Apabila alkohol diambil secara berlebihan, aliran darah ke islet pankreas (bahagian tertentu tisu badan) boleh terganggu termasuklah kawalan dan pembebasan insulin (hormon yang mengawal paras glukosa dalam badan). Hati pula tidak dapat melepaskan glukosa ke dalam aliran darah disebabkan oleh gangguan alkohol.

Pengambilan ubat-ubatan: Terdapat banyak ubat-ubatan yang boleh membuatkan hipoglikemia menjadi kesan sampingan termasuklah ubat untuk tekanan darah tinggi, penghalang beta, anti-depresi - bahkan ubat anti-diabetes juga boleh menghasilkan hipoglikemia kerana ubat-ubatan ini biasanya terlibat dalam proses pengawalan insulin. Sekiranya anda mengambil ubat yang mempunyai kesan sampingan, sila pastikan anda berunding dengan doktor terlebih dahulu untuk anda tahu dengan lebih lanjut tentang cara menguruskan hipoglikemia sekiranya ia terjadi pada diri anda.

Masalah organ dalaman: Hipoglikemia juga boleh terbentuk jika satu atau lebih daripada organ dalaman yang menguruskan penghasilan insulin (pankreas) dan mengawal glukosa serta gula darah (hati) tidak lagi berfungsi dengan baik. Organ dalaman lain yang terlibat termasuklah kelenjar endokrin (kelenjar pituitari dan adrenal). Sekiranya pesakit mengalami salah satu daripada masalah-masalah berikut, komplikasi ini boleh menjurus kepada simptom lain yang lebih teruk seperti penyakit organ, kanser, tumor, atau kegagalan organ. Kes-kes seperti ini haruslah dirujuk doktor dengan kadar yang segera kerana ia berpotensi untuk mengancam nyawa jika tidak ditangani dengan cepat.

Hipoglikemia reaktif: Juga dikenali sebagai hipoglikemia selepas makan, hipoglikemia reaktif boleh berlaku selepas memakan makanan yang mempunyai kandungan karbohidrat yang tinggi. Bermula dari satu hingga tiga jam selepas makan, tubuh badan anda akan menghasilkan insulin yang berlebihan sebagai tindak balas kepada karbohidrat, seterusnya menambah kandungan gula darah dalam badan. Ini menyebabkan jumlah glukosa dalam badan bertindak balas dan mengakibatkan komplikasi berlaku.

Hipoglikemia reaktif juga datang dalam pelbagai jenis. Salah satunya adalah hipoglikemia alergi yang sering dialami oleh pesakit yang menjalani pembedahan pintasan gastrik. Dalam situasi ini, makanan yang dihadam oleh pesakit melepasi usus kecil dengan terlalu cepat kerana saiz perut yang semakin mengecil. Hal ini menyebabkan pelepasan insulin yang berlebihan, dan seterusnya menurunkan tahap glukosa dalam badan.


Sekarang anda sudah tahu bahawa terdapat pelbagai sebab yang boleh membawa kepada hipoglikemia, dan sebab-sebab tersebut bergantung kepada pelbagai faktor yang boleh mengakibatkan ianya terjadi. Namun begitu, maklumat ini harus dianggap sebagai rujukan sampingan dan bukannya pengganti kepada nasihat pakar perubatan yang bertauliah.